Agak lama mama menyepi dari blog ini. Mama ingin berkongsi pengalaman dalam mengerjakan umrah agar ianya dapat memberikan sedikit gambaran buat mereka yang belum pernah menunaikan umrah. Ini merupakan pengalaman mama sendiri yang tidak pernah melakukan umrah sebelum ini.
Namun begitu, mama dan en suami pernah menunaikan haji sebelum ini iaitu pada tahun 2014. Namun begitu pengalaman mengerjakan haji sebelum ini adalah berbeza kerana semuanya diuruskan oleh pihak Tabung Haji. Sebagai jemaah yang terpilih untuk menunaikan haji pada tahun tersebut, apa yang perlu dibuat telah diatur oleh pihak TH. Ikut saja arahan yang diberikan dari masa ke semasa.
Mama memang sangat berhajat untuk membawa anak-anak mama menunaikan umrah semasa berada di tanah suci dahulu. Oleh itu salah satu doa mama agar kami sekeluarga diberikan kesempatan untuk menunaikan umrah bersama-sama dalam tempoh 2 tahun sekembalinya dari menunaikan Haji. Namun begitu, hajat mama ini belum dapat dilaksanakan kerana untuk mendapatkan masa bagi ke tiga-tiga anak mama bercuti adalah agak sukar kerana mereka belajar di peringkat yang berbeza dan cuti mereka tidak sama. Seorang buat diploma, seorang buat ijazah dan seorang masih bersekolah. Ini merupakan cabaran pertama yang perlu diselesaikan.
Setelah berbincang dengan en hubby mama , 2018 adalah masa yang terbaik kerana anak mama yang bersekolah sedang menunggu keputusan SPM 2017, dan 2 lagi anak mama akan bercuti smester 1 pada januari 2018 kira-kira 4 minggu.
Maka bermulalah persediaan untuk menunaikan umrah ini. Ianya dimulakan setelah kembalinya jemaah haji 2017, kerana selepas itu baru pendaftaran untuk umrah di buka. Memandangkan mama berhajat untuk pergi 2018, bulan Januari, maka mama dan en hubby telah bersepakat untuk menggunakan perkhidmatan TH Travel bagi perjalanan umrah 2018 ini.
Kami ambil pakej Fairus bilik berempat dengan harga RM 6590 seorang. Booking perjalanan umrah ini ialah sebanyak RM 300 seorang dan dalam tempoh sebulan perlu dijelaskan sebanyak RM 1K bagi setiap orang iaitu total RM 5 K bagi kami sekeluarga. Mama booking tarikh perjalanan 2018 ini pada bulan Ogos 2017. Setelah itu mama sediakan pasport antarabangsa untuk ketiga-tiga anak mama sebab kami semua tidak pernah ke luar negara sebelum ini kecuali mama dan en hubby yang tidak perlu buat sebab dah buat masa pergi haji dahulu dan masih belum tamat tempoh lami passport kami.
Kos untuk buat passport ini ialah RM 200 seorang.
Bayaran penuh pakej umrah ini perlu dibuat 45 hari sebelum tarikh berangkat. Maka alhamdullilah selesai bab bayaran ini pada bulan Disember 2017. Semasa bayaran penuh ini dibuat pihak TH travel telah memberikan pengesahan penerbangan waktu pergi dan balik, memberikan beg untuk dibawa semasa umrah, dan kami diminta menyerahkan pasport antarabangsa bersama 3 keping gambar untuk proses penyediaan visa umrah yang kan dilakukan oleh pihak TH travel.
Oh ya sebelum itu, kami juga diminta untuk memberikan sijil lahir setiap anak yang telah disahkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara dan Pengesahan daripada Wisma Putra. Salinan sijil nikah juga memerlukan pengesahan Jabatan Agama Islam dan Wisma Putra,
Lagi satu perkara yang perlu dilakukan ialah setiap orang yang ingin menunaikan umrah atau haji perlu mendapatkan imunisasi meningococcal bagi mengelakkan jangkitan atau radangan pada otak. Boleh ambil vaksin ini di klinik-klinik swasta. Kalau jemaah Haji vaksin ini diberikan percuma di klinik-klinik kesihatan yang ditetapkan oleh pihak TH. Kos vaksin ini di klinik swasta yang mama ambil ialah RM 140 seorang. Harga mungkin berbeza antara klinik-klinik ya.
Vaksin meningococcal ini mesti diambil. Kalau tidak ianya akan menjadi masalah besar semasa di Imigression Arab saudi nanti. Vaksin influenza dan pneumococal adalah vaksin pilihan nak ambil atau tidak terpulanglah pada masing-,masing.
Kursus untuk persediaan umrah pula, pihak TH travel ada menyediakan kursus ditempat yang terpilih. Kami pergi untuk mengikut kursus ini di masjid MIZAN Putrajaya yang diadakan pada setiap hari sabtu jam 9.00 hingga 1 tengahari. Sekali saja menghadiri kursus ini. Kalau masih kurang jelas boleh pergi lagi pada hari sabtu berikutnya.
Kotak berisi beg dari TH travel 5 buah untuk kami sekeluarga |
Beg 3 in 1 yang berwarna hitam |
Ahamdullilah persiapan hampir lengkap cuma nak kena beli serba sedikit keperluan untuk anak-anak sahaja. Mama dan en hubby tidak perlu membeli kerana insyallah kelengkapan masa haji dahulu masih boleh digunakan. Untuk anak lelaki, beli 2 pasang kurta saja. Anak perempuan pakai jer jubah sedia ada. Tak perlu beli rasanya. Kain ihram guna yang en hubby punya ada beberapa pasang. So guna tu jer la . Cuma mama beli telekung baru sepasang seorang untuk tambahan telekung sedia ada. Lai-lain keperluan yang baru adalah selipar untuk anak lelaki dan perempuan serta stoking. Untuk sarung lengan mama punya ada banyak maka guna yang sedia ada .
Begitulah serba sedikit keperluan sebelum menunaikan umrah kami. Insya Allah akan mama kongsikan cerita selanjuntnya di episode akan datang.